SEJARAH BENDERA MALAYSIA
"Merdeka, Merdeka, Merdeka!" - Tepat jam 12.00 malam 30 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor Bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan negara yang tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa tersebut dengan penuh rasa bangga.
Sejarah penerimaan Bendara Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah Jawatankuasa telah di- tubuhan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu.
Satu Pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertaandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga rekabentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dangan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dangan rekabentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi Keris Bersilang tersebut. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.
Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai mem-berikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh Akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan majoriti orang ramai memilih rekabentuk ketiga. Rekabentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah.
Rekabentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan talah men-dapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:
"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quater with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet".
Rekabentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di pekarang-an Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.
Bendera Malayisa adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu rekabentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut rekabentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September, 1963.
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.